Tugas-Tugas DUN

Mengenali Kawasan Damansara Utama


Untuk memahami kawasan Damansara Utama serta keperluan dan aspirasi penduduk tempatan secara sistematik, satu kajian telah dilancarkan pada 2015 oleh Pusat Khidmat ADUN Damansara Utama.

Berikut adalah laporan berkaitan kawasan dari segi demografi, penggunaan tanah, perumahan dan pemilikan, laluan jalanraya dan kesinambungan perhubungan, ekonomi serta kemudahan komuniti. Laporan tersebut juga memaparkan keputusan kajian yang telah dijalankan bertujuan untuk memahami keperluan penduduk tempatan melalui soal selidik komuniti, perniagaan dan pengguna pengangkutan awam.

Muat turun Damansara Utama: Baseline Study 2015 PDF:-

Projek Jangka Masa Panjang


Pusat Tuisyen Percuma

Pusat Khidmat ADUN Damansara Utama telah mengendalikan projek tuisyen percuma sejak 2013 bagi pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan menghadiri kelas tuisyen peribadi. Kini, pusat khidmat kami menjalankan dua pusat tuisyen percuma di Damansara Bistari dan Kampung Chempaka dengan mengadakan lebih daripada 20 kelas setiap minggu. Terdapat kelas-kelas dari Darjah 1 sehinggalah ke Tingkatan 5 untuk Bahasa Inggeris dan Matematik (juga Sains untuk peringkat tinggi). Projek tersebut dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Video ini dibuat sempena ulangtahun ke-2 program tuisyen percuma.

Selain daripada tuisyen percuma, pusat khidmat kami juga menjalankan program luar akademik seperti lawatan ke zoo dan pusat sains yang bertujuan menguatkan minat para pelajar serta memberi motivasi kepada mereka untuk menghadiri kelas.



Sebulan sebelum peperiksaan UPSR setiap tahun, pusat khidmat kami akan mengadakan kelas intensif bagi pelajar Darjah 6. Pelajar yang berjaya menghadiri lebih daripada 90% kelas tersebut akan diberi peluang untuk melawat Sunway Lagoon selepas UPSR, lawatan yang dibiayai sepenuhnya oleh pusat khidmat kami.




Bantuan Makanan (Food Bank)

Walaupun Damansara Utama merupakan kawasan yang bertaraf ekonomi sederhana tinggi, masih terdapat beberapa golongan dalam komuniti yang mempunyai masalah dalam mendapatkan bekalan makanan secara stabil. Oleh itu, sejak 2014, pusat khidmat kami telah menyediakan program subsidi RM50 sebulan untuk keperluan asas kepada lebih daripada 100 buah keluarga di bawah projek Bank Makanan. Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui peruntukan yang disalurkan kepada Pusat Khidmat ADUN Damansara Utama.




MySafe Neighborhood

Memandangkan bahawa 72% daripada penduduk Damansara Utama mengutamakan keselamatan, Pusat Khidmat ADUN Damansara Utama telah menjalankan kempen “MySafe Neighbourhood” sejak 2017 untuk memperkasakan pemimpin komuniti tempatan dalam usaha mereka meningkatkan keselamatan kawasan kejiranan mereka. Berikut adalah video laporan bagi 2017:




SEDAR (Search and Destroy Aedes Ranger)
Sejak 2016, Pusat Khidmat ADUN Damansara Utama telah bekerjasama dengan MBPJ untuk mewujudkan lebih ramai kumpulan SEDAR (Search and Destroy Aedes Ranger) tempatan untuk meningkatkan kesedaran tentang nyamuk Aedes dan mencari tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan perumahan tempatan mereka. Berikut adalah laporan video bagi 2017:


Projek Jangka Masa Pendek

Pusat Khidmat ADUN Damansara Utama telah menjalankan pelbagai program komuniti Mesra Rakyat sejak 2013. Berikut adalah salah satu daripada pelbagai program yang kami jalankan - Karnival Borneo, bertujuan untuk mempertingkatkan persefahaman antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Barat.