Blog

Sabtu, 24 Mac 2018

Bayangan Malaysia Baru Bab 7: Membina Institusi Masa Depan


BAB 7

MEMBINA INSTITUSI MASA DEPAN

Sekiranya hanya ada satu perkara yang boleh anda ubah untuk negara ini, apakah yang akan anda lakukan? Oleh sebab asuhan saya sejak kecil, jawapan saya dahulunya adalah pendidikan.

Lima tahun dalam politik membuat saya sedar bahawa aspek yang paling penting dalam kerajaan adalah tadbir urus. Tadbir urus yang baik adalah prasyarat untuk ekonomi, pendidikan, kebajikan sosial yang baik. Apabila kerajaan bersih, wang pembayar cukai akan digunakan dengan baik; apabila kerajaan bertanggungjawab, prestasi dapat dipantau dan diperbaiki, membawa kepada kerajaan yang lebih kompeten di setiap bidang pentadbiran.

Memimpin negara seperti Malaysia, yang kaya dengan sumber asli, strategik dalam geografi dan bebas daripada bencana alam, sebenarnya tidaklah begitu sukar; bahkan cuma memerlukan iltizam untuk melakukan perkara yang betul. Saya selalu menyebut hal ini; negara kita tidak ketandusan pemimpin dengan kecerdasan tetapi kita kurang pemimpin dengan integriti.

Jangan percayakan ahli politik, percayakan institusi

Semua orang suka ‘super hero’. Kisah-kisah mengenai sebuah bandar raya yang akan hancur atau masyarakat di ambang kehancuran diselamatkan oleh orang yang berani dan perkasa, selalunya dengan kuasa luar biasa, sentiasa memenuhi pawagam.

Dalam politik, ramai yang percaya bahawa selagi kita meletakkan orang yang tepat di tugasan paling utama, semuanya akan menjadi baik. Kemudian apabila kita menukar pemimpin, barulah kita menyedari bahawa masalah kita berlarutan atau muncul kembali setelah pemimpin itu hilang.

Bayangan Malaysia Baru Bab 6: Golongan Masyarakat Paling Rentan


BAB 6

GOLONGAN MASYARAKAT PALING RENTAN

“The greatness of a nation is measured by how it treats its weakest members.”

 –Mahatma Gandhi-

Dunia biasanya mengukur "kehebatan" sesebuah negara melalui KDNK per kapita, infrastruktur mega, kekuatan ketenteraan dan pengaruh, tetapi menariknya, Gandhi menggunakan "bagaimana anggota-anggotanya yang paling lemah diperlakukan" sebagai kayu ukur kehebatan.

Sama ada anda bersetuju dengan kayu ukur semacam itu, tidak dapat dinafikan bahawa kita harus terus menjaga anggota masyarakat yang lemah. Siapakah yang paling lemah di Malaysia? Kepada saya, anggota masyarakat yang paling lemah adalah orang yang tidak boleh atau tidak tahu bagaimana untuk bercakap bagi diri sendiri atau tidak berkuasa untuk memutuskan apa yang boleh dilakukan oleh sistem kepada mereka.

Terdapat banyak kumpulan sedemikian di Malaysia, bahagian buku ini akan menyentuh dua kategori iaitu orang asal / asli dan orang kurang upaya.


Orang Asal / Orang Asli

Masyarakat pribumi dikenali sebagai Orang Asal di Sabah dan Sarawak dan Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Saya ingin berkongsi dengan anda pengalaman saya di tiga tempat untuk menggambarkan keadaan biasa yang dihadapi oleh penduduk asli di kawasan luar bandar.

Bayangan Malaysia Baru Bab 5: Pendidikan ke Arah Masa Depan yang Lebih Baik


BAB 5

PENDIDIKAN KE ARAH MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK

“Education is the most powerful weapon you can use to change the world.” 

                                                                                                                       – Nelson Mandela 

Semasa saya masih remaja, saya sering bertanya kepada bapa saya mengapa kita tidak boleh menikmati kehidupan baik yang sama dengan sepupu saya (orang tuanya jauh lebih kaya berbanding keluarga kita), bapa saya selalunya akan membalas dengan, “Belajar bersungguh-sungguh Bee Yin, pendidikan akan mengubah nasib perjalanan hidup kamu”. 

Memang benar, pendidikan telah mengubah nasib hidup saya serta adik beradik dan rakan sepermainan saya yang membesar bersama di Batu Anam, satu desa kecil di Segamat, Johor. Pendidikan telah membuka banyak ruang dan kemungkinan yang sukar dibayangkan oleh kami sebagai anak-anak dari sebuah desa yang kecil. 

Seperti ramai yang selatarbelakang dengan saya, sukar bagi saya untuk berbahasa Inggeris sebelum zaman universiti. Semasa cuti sekolah, apabila bapa saya ingin membawa kami ke KL untuk melawat adik-beradiknya, saya selalu teruja dengan lawatan itu. Namun pada masa yang sama, saya berasa takut kerana penduduk di KL selalunya berbahasa Inggeris. Setiap kali mereka berbahasa Inggeris dengan saya, saya akan berasa malu apabila saya tidak mampu membalas perbualan tersebut. Saya tidak pernah bayangkan dua puluh tahun kemudian, saya akhirnya menjadi seorang penggubal undang-undang, dimana konsitituensi saya adalah salah satu konstituensi bilangan jumlah kecil di Malaysia yang mempunyai komuniti berbahasa Inggeris yang agak luas.

Bayangan Malaysia Baru Bab 4: Separuh dari Populasi Dunia Wanita


BAB 4

SEPARUH DARI POPULASI DUNIA – WANITA

 “Dunia ini tidak mungkin mencapai 100% daripada sasarannya, jika 50% daripada populasinya tidak dapat merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.”                                                
- Ban Ki Moon, Bekas Setiausaha Agung UN -

Apabila kita berbicara tentang kesaksamaan gender, hak wanita, dan pemerkasaan wanita, pelbagai orang termasuk lelaki dan wanita selalu mempersoalkan, “Bukankah kita sudah saksama?” Lagipun di Malaysia, kedua-dua gender dapat belajar di sekolah awam serta bertanding ataupun mengundi selepas dewasa.

Disebabkan oleh cara saya dibesarkan, saya tidak menyangka satu hari nanti saya akan menjadi salah seorang yang memperjuangkan masalah kesaksamaan gender. Sehinggalah satu hari apabila saya terbaca beberapa carta dalam Laporan Jurang Gender Global yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia pada tahun 2012. Mungkin sifat semula jadi seorang latihan jurutera, seringkali, hanya nombor dan carta boleh lebih meyakinkan saya. Dan carta itu telah menunjukkan korelasi positif yang jelas di antara kesaksamaan gender berbanding dengan KDNK per kapita, Indeks Daya Saing Global dan Indeks Pembangunan Manusia. Dalam erti kata lain, negara yang mempunyai kesaksamaan gender yang lebih baik biasanya lebih kaya, lebih kompetitif dan mempunyai taraf hidup yang lebih baik.

Walaupun korelasi bukannya sebab dan akibat, trend ini selaras dengan peningkatan bukti-bukti yang menunjukkan pemerkasaan wanita mampu mendorong ke arah penggunaan modal insan negara yang lebih cekap dan dengan pengurangan jurang gender, boleh meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi. 

Apabila kita memperkasakan wanita, maka negara kita akan lebih maju. Pandangan ini bukanlah hanya berdasarkan moral, falsafah ataupun ideologi, tetapi berdasarkan bukti empirikal dan kisah-kisah kejayaan di seluruh dunia. Berdasarkan petikan PBB pada sasaran yang ke-5 daripada 17 Sasaran Pembangunan Mampan – Mencapai kesaksamaan gender dan memperkasakan semua wanita dan perempuan,

“Kesaksamaan gender bukan sahaja perkara asas kepada hak asasi manusia, tetapi keperluan asas pada sebuah dunia yang damai, makmur dan mampan. Dengan adanya penyediaan akses yang setara kepada kaum wanita dan perempuan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan yang bagus dan perwakilan dalam politik serta proses membuat keputusan ekonomi, akan menghasilkan ekonomi mampan dan membawa manfaat yang besar terhadap manusia dan masyarakat.”

Bagaimanakah situasi Malaysia dari segi kesaksamaan gender? Menurut Laporan Jurang Gender Global 2016 oleh WEF, Malaysia menduduki tempat 106 daripada 144 negara dalam kesaksamaan gender, dan ini meletakkan kita di kedudukan suku bawah dalam negara-negara yang telah dinilai.

Bayangan Malaysia Baru Bab 3: Pemberdayaan Anak Muda


BAB 3

PEMBERDAYAAN ANAK MUDA

Apakah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran anda apabila kita berbicara tentang anak muda Malaysia pada hari ini? Mereka yang beratur berjam-jam, hanya untuk membeli sebuah iPhone terbaru di pasaran ataupun tiket konsert K-pop? Anak muda yang sentiasa mencari peluang untuk membeli tiket Air Asia yang murah untuk percutian yang seterusnya? Anak muda yang boleh mengambil gambar dengan pantas dan sempurna dari setiap sudut? Anak muda yang tidak tahan dengan tekanan? Ada juga di antara kita yang melihat golongan anak muda Malaysia dengan sangat berbeza, dimana mereka dilihat kreatif, berani dan ageresif dengan idea permulaan yang begitu kreatif sehingga tidak dapat ditandingi oleh generasi sebelumnya.

Tidak kira apa pandangan anda terhadap golongan anak muda Malaysia, satu fakta penting iaitu, pemberdayaan anak muda (youth empowerment) merupakan satu agenda perdana dalam pembinaan negara untuk Malaysia. Bagaimana pembangunan anak muda dari segi ekonomi dan prefesional bagi generasi ini, akan membawa impak yang signifikan untuk pembangunan secara seluruh di dalam negara ini.

Ini sebabnya.

Bayangan Malaysia Baru Bab 2: Contoh Tauladan


BAB 2

CONTOH TAULADAN

Saya melihat kepada ramai orang dalam adegan politik semasa di Malaysia dari bos saya Tony Pua sehinggalah Speaker Selangor Hannah Yeoh dan kemudian ahli politik paling baik hati dalam politik Malaysia Teresa Kok diikuti pakar strategi politik Liew Ching Tong serta orang yang pantas bertindak, Anthony Loke. Kesemuanya memberi saya gambaran bagaimana untuk  menjadi seorang ahli politik yang baik. Tetapi tiada seorang pun daripada mereka yang menghampiri kekaguman saya terhadap Lim Kit Siang dan Saari Sungib. Pada mereka, saya melihat contoh tentang apa sebenarnya politik itu - tidak henti mengejar cita-cita untuk negara tanpa pedulikan diri sendiri. Inilah pengajaran yang saya pelajari sebagai seorang ahli politik muda yang memerhatikan kedua-dua lelaki hebat ini dalam politik.

Lim Kit Siang

* Artikel ini digubah semula dari satu artikel yang saya sumbangkan sebagai sebahagian daripada koleksi dalam Buku Ulang Tahun ke-75 Lim Kit Siang pada tahun 2016.

Lim Kit Siang si ‘orang jahat’

Saya dibesarkan di sebuah pekan kecil bernama Batu Anam dan belajar di sekolah Cina, di mana nilai-nilai teras yang diajar ialah supaya mematuhi arahan dan rajin bekerja. Sepanjang sekolah rendah dan menengah, saya selalu berfikir bahawa apa yang diberitahu guru, buku teks, berita dan akhbar RTM adalah sentiasa betul. Saya menghafal seluruh buku teks sejarah (ya, itulah yang seorang nerd lakukan!) dan mempercayai bahawa apa yang saya baca adalah sejarah sebenar. Saya jarang membaca akhbar, tetapi apabila saya melakukannya, saya hanya akan membaca tajuk utama. Saya juga tidak menonton berita TV, tetapi apabila saya melakukannya, hanya sebahagian sahaja kerana berita itu tersiar sebelum atau selepas rancangan TVB petang (saya suka menonton drama TVB semasa zaman kanak-kanak).

Bayangan Malaysia Baru Bab 1: Perjalanan Peribadi


BAB 1

PERJALANAN PERIBADI

Di bahagian pertama buku ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi dengan anda perjalanan peribadi saya dan bagaimana saya menyertai politik. Saya mula-mula berkongsi kisah tentang bagaimana saya menyertai politik di blog saya dalam sebuah artikel berjudul “Entering into Politics – The Story Behind” pada tahun 2012. Lima tahun kemudian, saya menceritakan kisah ini dengan lebih banyak butiran dan refleksi yang lebih mendalam. Saya berharap kisah saya ini akan mendorong anda untuk meneruskan impian masing-masing dan yang paling penting, impian dan harapan untuk negara ini.


Benih-benih cinta

Semuanya bermula pada tahun 2001 dengan sebuah program doa - Puasa dan Doa 40-hari untuk Malaysia, yang dianjurkan oleh National Evangelical Christian Fellowship (NECF). Saya seorang pelajar tahun pertama di Universiti Teknologi Petronas (UTP) ketika saya menemukan pergerakan ini. Tidak tahu kenapa, saya merasakan amat penting untuk berdoa demi Malaysia.

Supaya tidak bersendirian, saya memujuk rakan baik saya di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Lo Thin Thin, untuk berpuasa dan berdoa untuk Malaysia bersama saya. Sepanjang tempoh lima tahun akan datang di UTP, setiap tahun di sekitar musim Merdeka ketika NECF mengedarkan risalah Puasa dan Doa 40-hari untuk Malaysia, kami akan mengambil satu salinan dan melakukan 40 hari berpuasa bersama.

Kami biasanya berdoa untuk Malaysia bersama-sama di bilik Thin Thin sebelum berbuka puasa (untuk makan malam). Kadang-kadang beberapa orang teman akan menyertai kami. Makanan kegemaran kami adalah nasi ayam goreng kunyit, yang dijual pada harga RM 2.50 di kantin berdekatan asrama kami di kampus UTP. Seingat saya, rasanya begitu sedap sekali, terutama dengan sedikit cili padi dan kicap manis.

Ketika zaman mahasiswa, saya mula melihat Malaysia secara berbeza. Saya mula menyemai benih kasih sayang dan semangat untuk negara ini melalui puasa dan berdoa untuk Malaysia.

Walau bagaimanapun, saya tidak dapat membayangkan diri saya terlibat dalam politik kemudian. Walaupun saya tahu bahawa politik adalah penting untuk membuat perubahan di negara kita melalui perubahan sistemik dan dasar, imaginasi yang paling dekat dengan politik saya adalah "biarlah saya berkahwin dengan seorang ahli politik", jadi saya dapat membantu suami saya untuk membuat perubahan.

Pemikiran sedemikian mungkin kedengaran lucu sekarang tetapi ia semulajadi bagi saya yang ketika membesar lebih banyak melihat wanita di latar belakang daripada berada di baris depan. Tidak terbayang waktu itu, seorang gadis dari sebuah bandar kecil, boleh menjadi agen perubahan demi diri saya sendiri, pendirian saya, dan apa yang saya lakukan, bukan sebagai isteri atau anak perempuan orang lain.

Melihat kembali, saya tahu bahawa sesiapa sahaja, tidak kira betapa kecilnya kita, boleh memainkan peranan dalam pembinaan negara.


Tahun-tahun di perantauan

Tidak, saya bukan seorang yang patriotik sehinggakan tiada yang lebih penting kepada saya selain Malaysia. Sejak muda saya bermimpi pergi ke luar negara - belajar, bekerja dan melihat dunia.